Isnin, 10 Oktober 2016

JENIS-JENIS MURID BERKEPERLUAN KHAS (MBK)

1.0       PENGENALAN

Menurut Xubuntu (2008) kanak-kanak istimewa adalah sebahagian daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU), iaitu seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya, atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu, dan tidak dapat hidup bermasyarakat sama ada dari segi fizikal, atau mental, dan berlaku sama ada sejak dilahirkan, ataupun sesudah itu.

Terdapat enam kategori orang kurang upaya yang turut melibatkan kanak-kanak, iaitu:
1.1       Kurang Upaya Pendengaran
                                    Kurang upaya pendengaran termasuk pekak dan bisu.

1.2       Kurang Upaya Penglihatan
                                    Kurang upaya penglihatan termasuk rabun dan buta.

1.3       Kurang Upaya Fizikal
Kurang upaya fizikal merupakan kecacatan anggota badan misalnya penyakit polio, kudung, distrofi otot, dan sebagainya.


1.4       Celebral Palsy
Cerebral palsy meliputi hemiplegia (sebelah badan), diplegia (kedua belah kaki) dan kuadriplegia (kedua-dua belah tangan dan kaki).

1.5       Masalah Pembelajaran
Masalah pembelajaran merupakan lewat perkembangan bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun; Sindrom Down, autisme, ADHD, terencat akal (berusia lebih tiga tahun), dan masalah lain seperti disleksia, dispraksia, diskakulia, dan lain-lain.

1.6       Lain-lain
Lain-lain bermaksud kecacatan menurut diagnosis perubatan yang merangkumi semua masalah kurang upaya.

Kanak-kanak istimewa sering dikaitkan dengan ketakupayaan pembelajaran. Sebenarnya, ketakupayaan pembelajaran bukanlah bermaksud mereka bodoh, lembab, malas, atau mempunyai tahap kecerdasan yang rendah.  Ia juga bukanlah berlaku akibat daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi dan pengaruh persekitaran.  Ketakupayaan pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini, yang menjejaskan cara mereka memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat.  Kertas kerja ini akan membincangkan definisi, ciri-ciri dan punca-punca serta memberi statistik mengenai ketidakupayaan disleksia, dispraksia, autisme, sindrom rett, sindrom asperger dan sindrom down.

2.0       DISLEKSIA

Perkataan “disleksia” (dyslexia) adalah hasil gabuangan dua perkataan Yunani iaitu “Dys” yang bermaksud kesukaran dan “Lexis” bermaksud perkataan.  Dengan kata lain, disleksia membawa maksud kesukaran menggunakan perkataan. Istilah  ‘buta huruf’ juga digunakan untuk kategori ini.  Perkataan “dislekia” telah diperkenalkan oleh seorang professor, yang juga merupkan seorang pakar perubatan dan ahli ophthalmologi, dari Berlin pada tahun 1887. (Hammond dan Hugges, 1996 dalam SpeEd, 2007)

Menurut World Federation Of Neurology (1968), ‘disleksia ialah satu gangguan dalam kanak-kanak yang telah menerima pendidikan biasa namun tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf umurnya’. (SpeEd, 2007)

Selain disleksia, terdapat juga beberapa perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia. Antaranya ialah diskalkulia, disgrafia dan diapraksia.  Diskalkulia terjadi apabila kanak-kanak bermasalah dalam pengiraan ataupun matematik.  Manakala disgrafia berlaku apabila kanak-kanak bahasa dan dispraksia terjadi apabila kanak-kanak bermasalah dalam koordinasi motor-mata-tangan.

Menurut Sariah Amirin (2000) kanak-kanak disleksia membingungkan.  Mereka dilihat cerdik dan berkemampuan, segar dan berminat, mempunyai kemahiran lisan yang baik
tetapi kemahiran membaca dan menulis mereka lemah daripada yang dijangkakan.  Biasanya kanak-kanak ini akan dianggap tidak menumpukan perhatian, malas atau cuai.

2.1       Definisi Disleksia

Disleksia membawa maksud yang berbeza bagi setiap orang.  Terdapat penulis atau pengkaji yang mendefinisikan disleksia dari segi semua aspek bahasa, iaitu dari segi pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan.  Terdapat juga yang memberi maksud disleksia dari segi pembacaan sahaja.

Kebayakkan penulis dan pengkaji menakrif disleksia dari segi pembacaan.  Orton (1937) mendefinisikan disleksia sebagai satu keadaan di mana pembacaan kanak-kanak tidak sama seperti kanak-kanak yang lain, iaitu kanak-kanak tersebut membaca lebih lambat daripada kanak-kanak yang sebaya dengannya.  Cara pembacaan kanak-kanak disleksia termasuk pembacaan terbalik dan juga keliru antara perkataan-perkataan yang biasa.  Beliau memberi contoh perkataan “saw” akan dibaca sebagai “was”.  Disebabkan kanak-kanak disleksia sering membaca terbalik, beliau mencadang perkataan “strephosymbolia” yang membawa maksud ‘simbol terbalik’. (Goldberg et al., 1983)  Høien dan Lundberg (1989) juga memberi maksud yang hampir sama, iaitu disleksia merupakan kekurangan fonologik khusus yang dicirikan dengan kelambatan yang luar biasa dalam penukaran ortografi bahasa tulisan kepada fonologi yang setara. (Hugdahl & Heiervang, 2003)  Ortografi melibatkan satu sistem yang mengaitkan bunyi dengan simbol-simbol penulisan.  Ia merupakan kajian bahasa yang melibatkan huruf-huruf dan ejaan. (Merriam-webster, 2008)  Harm dan Seidenberg (1999) juga mengaitkan disleksia dengan pembacaan.  Mereka menyatakan bahawa disleksia merupakan kegagalan untuk memperoleh kemahiran-kemahiran membaca yang setaraf umur kanak-kanak walaupun terdapat peluang-peluang pembelajaran. Menurut mereka, definisi ini mencadangkan bahawa disleksia adalah jelas apabila pembacaan dan ejaan tidak berkembang dengan sepenuhnya atau berkembang dengan susah. (Breznitz et al., 2003)  Menurut Csépe (2003) disleksia, yang juga dikenali sebagai “reading disorder” (RD), merupakan kecacatan khusus dalam kemahiran membaca.  Menurut beliau lagi, kebanyakkan kes disleksia mempunyai kesan yang berpanjangan sepanjang hidup seseorang individu.  Pakar psikiatrik kanak-kanak, Dr. Tjhin Wiguna juga menyatakan bahawa disleksia merupakan salah satu jenis kesulitan pembelajaran spesifik yang juga disebut sebagai kesulitan membaca. (Kompas CyberMedia, 2004)

Namun begitu, terdapat juga penulis dan pengkaji yang mendefinisikan disleksia dari sudut semua kemahiran bahasa, iaitu dari segi pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan.  Tetapi jarang pendengaran akan termasuk dalam definisi disleksia.  Namun, menurut Goldberg et al. (1983) disleksia merupakan satu gangguan dalam satu atau lebih proses psikologi asas yang melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa; sama ada pertuturan atau penulisan; dan juga ketidakupayaan untuk mendengar, berfikir, bercakap, menulis, mengeja atau pengiraan.  Kanak-kanak yang mempunyai gangguan pembelajaran ini mungkin mempunyai perbezaan antara pencapaiannya dan kebolehan mental dari segi bercakap, mendengar, menulis, kemahiran asas membaca, pemahaman, pengiraan matematik dan penaakulan matematik.  Selain itu, disleksia juga adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap disebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan. Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. (SpeEd, 2007)

Pada kebiasaanya, disleksia tidak akan termasuk masalah pendengaran.  Biasanya, selain pembacaan, ejaan dan penulisan juga yang termasuk dalam definisi disleksia.  Seperto definisi disleksia menurut Critchley (1970), disleksia adalah kesulitan untuk membaca, menulis, dan mengeja, tanpa gangguan sensori perifer.  ‘Tanpa gangguan sensori perifer’ bermaksud kanak-kanak disleksia tidak mempunyai kekurangan pendengaran atau penglihatan, kognitif yang rendah, masalah emosi atau kurang bermotivasi. (Kompas CyberMedia, 2004)  Thomson (1990) juga mendefinisikan disleksia sebagai “masalah perkataan” yang tidak terhad kepada pembacaan sahaja tetapi merangkumi masalah ejaan, menulis dan aspek bahasa yang lain.  Menurut Pierangelo (1996) disleksia merupakan kesukaran menggunakan perkataan. Beliau juga menyatakan bahawa disleksia ialah golongan yang sukar dalam mengenal huruf, membaca, menulis mengeja dan memahami teks bacaan. Ia merupakan ketidakupayaan atau masalah pembelajaran yang khusus dan teruk. (Sri Cempaka, 2007)  Word Federation of Neurology (1998) pula menyatakan bahawa disleksia ialah satu ‘disorder’ dalam kanak-kanak yang telah menerima pendidikan biasa, tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan dan ejaan yang setaraf intelek.

Walaubagaimana pun, terdapat juga kenyataan bahawa kanak-kanak disleksia mempunyai kemahiran dan bakat-bakat lain disebalik malasah pembelajaran mereka tersebut.  Sariah Amirin (2000) memberi maksud disleksia sebagai kesukaran pembelajaran yang spesifik yang disebabkan oleh kelewatan perkembangan menyeluruh. Kanak-kanak disleksia susah menguasai kemahiran membaca dan menulis, tetapi merek memiliki bakat, kepintaran, atau kecerdasan yang lain.  Hal ini disebabkan oleh perbezaan dalam cara otak memproses maklumat, terutama sekali berkenaan dengan bunyi, simbol dan makna.  Untung S. Drazat (2006) menyatakan bahawa disleksia adalah sejenis kesulitan pembelajaran yang ditanda dengan kesulitan membaca.  Beberapa kanak-kanak yang mengalami disleksia juga berkemungkinan mengalami kesulitan menulis, dan kadang-kala juga kesulitan berbicara atau berhitung.  Beliau menyambung bahawa ramai kanak-kanak disleksia mempunyai potensi untuk berprestasi yang amat luar biasa dan mempunyai kecekapan mental yang tinggi.

2.2       Ciri-ciri Kanak-kanak Disleksia

Menurut Sri Cempaka (2007), secara umumny, antara ciri-ciri kanak-kanak disleksia ialah mereka sangat menumpukan perhatian dan komited tetapi gagal.  Mereka pandai dalam bidang seni.  Semasa membaca, mereka perlu menggunakan jari untuk membaca dan juga untuk mengira.   Kanak-kanak disleksia minat belajar dan nampak pandai, namun mereka lemah dalam pelajaran kerana sukar untuk dikuasai.  Jika mereka gagal disekolah, mereka akan sangat kecewa. Selain itu, mereka selalu jatuh (clumsy) dan terlupa nama benda-benda. Mereka juga sering berhadapan dengan bentuk emosi yang tidak menentu (moody) tanpa sebab-sebab tertentu.  Sri Cempaka juga memberi ciri-ciri secara khusus berdasarkan kemahiran-kemahiran asas bahasa, namun ciri-ciri ini akan dibincangkan kemudian, iaitu daripada 2.2.2 sehingga 2.2.7.  Ciri-ciri yang ditulis diberi oleh Sri Cempaka (2007) dan akan ditambah dengan ciri-ciri oleh pengkaji dan penulis lain.

Selain Sri Cempaka, SpeEd. (2007) memberi ciri-ciri dalam kanak-kanak prasekolah.  Guru-guru prasekolah boleh menggunakan tanda-tanda ini untuk mengenal pasti kanak-kanak disleksia.  Antara tanda-tanda kanak-kanak prasekolah ialah kemahiran bertutur mereka lambat dan mereka sukar memahami arahan.  Selain itu mereka suka mengganti perkataan dan hiperaktif.  Kemahiran motor kasar dan motor halus mereka lemah. Sebagai contoh, mereka sentiasa melanggar barang di sekitar mereka dan sukar membaling atau menangkap bola.  Contoh untuk motor hauls yang lemah, mereka tidak dapat memegang alat tulis atau tidak boleh menggunting. (Sariah Amirin, 2000)  Mereka juga seringkali terlupa nama benda-benda atau pelajaran yang dipelajari.  Selain daripada itu, mereka suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri.  Mereka sifat ingin tahu tinggi, berminat terhadap pekara baru dan suka bertanya banyak soalan.

2.2.1   Otak Kanak-kanak Disleksia

Sariah Amirin (2000) memberi ciri-ciri kanak-kanak disleksia daari segi otak mereka.  Otak manusia terbahagi kepada dua sfera, kanak dan kiri.  Sfera sebelah kiri digunakan untuk penggunaan bahasa, pemikiran logik, susunan dan struktur.  Manakala sfera sebelah kanan digunakan untuk visual, daya kreatif, dan kemahiran seni.  Kebanyakan orang dapat mengembangkan kedua-dua jenis kemahiran tetapi pada kebiasaannya satu bahagian otak akan menjadi lebih dominan.  Orang disleksik lazimnya cenderung menggunakan otak kanan.  Cara berfikir dan belajar mereka berlainan.  Mereka berbakat kreatif atau seni, walaupun mereka lemah dalam kemahiran bahasa, logik,  turutan dan struktur.  Menurut Sariah Amirin (2000) lagi, cara orang disleksia memerhati dan berfikir boleh dianggap satu “anugerah” dan bukannya satu masalah.


2.2.2   Masalah Pendengaran

Dari segi mendengar, mereka kelihatan seperti tidak mendengar (Sri Cempaka, 2007) atau tidak mempedulikan (SpeEd, 2007).  Hal ini kerana mereka lambat dalam memproses maklumat mereka terima.  Maka, mereka tidak akan melakukan arahan yang diberi oleh guru, terutamanya jika arahan tersebut terlalu panjang.  Mereka juga tidak akan menyusun sesuatu mengikut susunan, contoh melakukan arahan mengikut urutan.  Namun, mereka suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat untuk membaca sendiri.

2.2.3   Masalah Pertuturan

Dari segi pertutran pula, mereka menghadapi kesukaran bertutur dan juga mempunyai kesukaran untuk mengeluarkan atau memilih perkataan yang sesuai semasa bercakap bagi menyampaikan maksudnya. (Untung S. Drazat, 2006)  Hal ini mungkin kerana perkembangan pertuturan dan bahasa yang lambat.  Selain itu, bahasa lisan lebih baik daripada penulisan.  Mereka suka belajar dengan irama kanak-kanak “nursery rhymes”.

2.2.4   Masalah Mengeja

Menurut SpeEd (2007) kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad.  Untuk tempoh jangka masa yang panjang, kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca dan memulis.  Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti: ‘m’ – ‘w’, ‘y’ – ‘g’ – ‘j’, ‘u’ – ‘n’,’m’ – ‘n’, ‘c’ – ‘e’, ‘p’ – ‘q’, ‘h’ – ‘n’ dan ‘b’ – ‘d’.  Selain itu, terdapat juga kekeliruan dalam membunyikan huruf seperti ‘t’ - ‘h’ dan ‘f’ - ‘v’.  Hal ini akan menyebabkan mereka kelihatan seperti tidak berhati-hati apabila mengeja. (Sri Cempaka, 2007)

Pengeliruan huruf akan menyebabkan kemahiran mengeja kanak-kanak lemah dan  ejaan mereka sering tidak konsisten.  Mereka tidak boleh mengeja perkataan asas dan mudah yang seharusnya boleh dieja oleh seseorang murid mengikut umur mereka.  Tahap perbendaharaan kata mereka lemah.  Contohnya murid tahun 1 sepatutnya boleh mengeja perbendaharaan kata mudah seperti baju, muka, emak, nama sendiri dan lain-lain lagi.

Mereka keliru antara perkataan yang hampir sama, contoh ‘buah’ dan ‘bahu’.  Mereka juga keliru huruf atau bunyi abjad yang hampir sama dalam suku kata, contohnya ‘almari’ dan ‘lamari’.  Selain itu, mereka menggbungkan suku kata secara terbalik, contohnya ‘baju’ menjadi ‘juba’ dan juga salah menyusun abjad dalam perkataan, seperti ‘sabun’ menjadi ‘basun’.

2.2.5   Masalah Membaca

Disleksia biasanya dikaitkan dengan membaca.  Kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai kemahiran membaca lemah.  Kemampuan pembacaan kanak-kanak disleksia tidak setaraf dengan kemampuan kanak-kanak seusianya. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004)  Apabila mereka membaca, mereka teragak-agak walaupun mereka menggunakan jari untuk menolong mereka membaca.  Kadangkala cara membaca mereka seperti mereka gagap. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004)  Mereka sukar memahami dan menggunakan teks bacaan.  Mereka juga lemah atau tidak pandai menggunakan intonasi dan ekspresi yang sesuai.Intonasi mereka akan turun dan naik mengikut gerak hati mereka. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004)  Selain itu, apabila membaca mereka tidak menghiraukan tanda baca dan suka menambah perkataan pada bacaannya.  Mereka juga sering melangkau baris semasa membaca dan salah sebut perkataan, terutamanya perkataan yang tidak biasa digunakan.  Terdapat juga kanak-kanak yang pura-pura membaca buku berpandukan gambar yang dilihat atau mereka ciptakan. 

Masalah yang paling terkenal dengan disleksia ialah kanak-kanak sentiasa keliru dengan perkataan dan huruf yang kelihatan sama.  Mereka akan membaca perkataan terbalik, contoh seperti ‘batu’ menjadi ‘tuba’, ‘gula’ menjadi ‘lagu’ dan sebagainya.  Selain pembalik perkataan, mereka juga terbalik dalam konsep ruang. Misalnya, mereka keliru terhadap pemahaman konsep atas dan bawah, depan dan belakang dan sebagainya. (Tjhin Wiguna dalam Kompas CyberMedia, 2004)  Selain itu, mereka juga keliru kedudukan huruf dalam perkataan, seperti ‘makan’ menjadi ‘makna’; dan keliru antara perkataan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang hampir sama, seperti ‘jam’ dan ‘jem’, ‘cat’ (kucing) dan ‘cat’ dan lain-lain.  Penambahan dan pengurangkan huruf juga berlaku, contohnya ‘bulan’ menjadi ‘bulang’ dan ‘bunga’ menjadi ‘buna’. Kadangkala huruf vokal yang mereka baca tidak jelas atau mereka mengganti konsonan. (Untung S. Drazat, 2006)

Orton mencatat bahawa banyak anak disleksia yang kidal atau ambidextrous, iaitu dapat menggunakan kedua belah tangan untuk menulis, akan seringkali membaca dari kanan ke kiri. (Untung S. Drazat, 2006)  Contohnya, ‘Pada masa yang sama’ akan menjadi ‘Dapa sama yang masa’.  (SpeEd, 2007)

2.2.6   Masalah Menulis

Kanak-kanak disleksia tidak suka menulis. Mereka menulis lebih lambat berbanding dengan rakan sebaya mereka.  Sewaktu menulis, mereka sering mengigit jari atau pen dan tenung buku seperti tidak faham. Mereka akan menekan pencil semasa menulis.  Mereka sukar menulis atau memindahkan maklumat ke atas kertas.  Hal ini keranan apabila mereka cuba menulis dan mengeja apa yang difikirkan, mereka tidak dapat pindahkan fikiran mereka daripada otak kepada tangan.  Kadangkala mereka perlu fikir begitu lama susunan huruf sehingga mereka lupa apa yang mereka sedang cuba menulis. (Sariah Amirin, 2000) Hal ini juga akan menyebabkan mereka sukar menyalin maklumat atau meniru dari papan tulis atau buku teks serta yang dikatakan atau disebut oleh guru.  Mereka akan meninggalkan atau menyelit perkataan dan juga meninggalkan atau menyelitkan huruf serta selalu terpaksa menyalin daripada rakan.

Bentuk penulisan mereka berbeza-beza. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memegang pensel dan tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. (SpeEd, 2007) Tulisan mereka amat sukar dibaca dan tidak kemas.  Mereka akan menulis terbalik, iaitu dari kanan ke kiri (SpeEd, 2007) dengan bentuk abjad yang tidak jelas dan mereka juga kerap menggunakan pemadam semasa menulis.  Selain itu, mereka lemah atau tidak pandai menggunakan tanda baca atau huruf besar.  Mereka biasanya tidak akan memulakan huruf besar dipermulaan ayat dan sering campurkan huruf besar dengan huruf kecil dalam sebuah perkataan.  Apabila menulis ayat, terdapat kanak-kanak yang tidak menjarakkan perkataan dalam sebuah ayat: Sayasukabermain.  Terdapat juga kanak-kanak yang menjarakkan perkataan dengan salah: Say asu kaberm ain. Selain itu, kanak-kanak ini juga cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik dan keliru dengan perkataan pendek seperti ia, dia, ini dan sebagainya.

2.2.7   Masalah Matematik dan Nombor

Sama seperti, kanak-kanak keliru antara huruf yang hampir sama, kanak-kanak disleksia juga keliru dengan nombor yang sama bentuk, contohnya: 3 – 5 – 8, 9 – 6 (Sri Cempaka, 2007) dan 2 – 5 (Untung S. Drazat, 2006) Selain itu, mereka juga terbalik susunan nombor, contoh 45 menjadi 54.

Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental. (SpeEd, 2007)  Mereka keliru atau tidak memahami tanda-tanda dan simbol-simbol matematik, contohnya: +, - dan =.  Selain itu, mereka keliru dengan konsep masa, waktu dan konsep wang.  Mereka sukar dalam menyusun atur maklumat, seperti hari-hari dalam seminggu dan bulan-bulan dalam tahun dan sukar mempelajari sifir matematik.

2.3       Punca-punca Disleksia

Mengikut Mercer (1997), Hammond dan Hughes (19960 dan Spaafford dan Grosser (1996) terdapat tiga punca disleksia. (SpeEd, 2007)

2.3.1   Keturunan atau Genetik

Masalah disleksia boleh diwarisi, cuma darjah keterukan disleksia yang dialami mungkin berbeza. (Sri Cempaka, 2007)  Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah yang sama. Menurut seorang pakar pediatrik neurologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Rithauddin bin Mohamed (n.d.), jika dalam kalangan keluarga tersebut, salah seorang antara adik-beradik yang mempunyai disleksia, maka ibu mempunyai risiko 40% untuk melahirkan kanak-kanak yang disleksia.  Manakala, jika ibu atau bapa yang mempunyai disleksia, anak yang dilahirkan 25-50% berkemungkinan mempunyai disleksia juga.  Selain itu, kajian telah membuktikan disleksia yang disebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 diwarisi secara turun-temurun (British Psychological Society, 1991 dan Hammond dan Hughes, 1996 dalam Sri Cempaka, 2007)

2.3.2   Biologi

Punca biologi bermaksud kesukaran ibu semasa bayi dilahirkan seperti lahir tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau komplikasi yang dihadapi ibu semasa proses kelahiran.  Kesemua faktor ini berkemungkinan menyebabkan ketidaksempurnaan perkembangan pada otak yang menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi masalah disleksia (Hammond dan Hughes, 1996 dalam Sri Cempaka, 2007) Sebahagian daripada kerosakan otak mungkin menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar. (SpeEd, 2007)  Dejerine (1892) telah membuat kesimpulan bahawa disleksia adalah berpunca daripada kerosakan pada ‘Corpus Callosum’ dan ‘Visual Cortex’ dalam otak manusia. (Sri Cempaka, 2007) Corpus callosum merupakan kumpulan-kumpulan saraf yang menghubungkan dua hemisfera otak. (Tobin, 2007) Manakala, Visual Cortex merupakan bahagian belakang otak yang juga dikenali sebagai occipital lobe dan melibatkan penglihatan, walaupun dilihat jauh daripada kedudukan mata. (Perkins, 2007)

2.3.3   Kematangan

Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada bahagian tertentu dalam sistem saraf.  Biasanya terdapat perbezaan dalam perkembangan sistem saraf manusia. Terdapat kanak-kanak yang lebih lambat perkembangannya pada bahagian-bahagian tertentu dalam sistem saraf jika dibandingkan dengan rakan sebayanya. (Sri Cempaka, 2007). Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak permepuan. Perkembangan kematangan kanak-kanak lelaki secara umumnya berlaku secara mendadak dan tidak berperingkat seperti kanak-kanak perempuan. (Sri Cempaka, 2007)  Kelewatan kematangan pada kanak-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia. (SpeEd, 2007)

2.4       Statistik Disleksia

Menurut Smythe et al. (2004) dalam bukunya International Book of Dyslexia: A Cross-Language Comparison and Practice Guide, peratusan kanak-kanak disleksia di Malaysia hanya 5%.  Manakala di Singapura, hanya 3.3% kanak-kanak mempunyai disleksia.  Di tempat-tempat lain di Asia, seperti di Jepun, peratusan juga adalah rendah, iaitu 6% sahaja.  Namun, di negara-negara barat, seperti di USA dan Finland, peratusan adalah tinggi, iaitu 8.5% dan 10% masing-masing.

Menurut Tjhin Wiguna (Kompas CyberMedia, 2004), disleksia lebih banyak dijumpa pada kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Katanya, "Dulu memang ada pendapat yang mengaitkan dengan adanya kekurangan hormon testosteron pada janin lelaki semasa dalam kandungan. Kekurangan hormon dikaitkan dengan terjadinya gangguan perkembangan bahagian otak sebelah kiri yang memang diatur oleh hormon ini, yang akan mengakibatkan disleksia di kemudian hari".

Namun beliau menyambung, bahawa sekarang dalam penelitian epidemiologi yang baru, nisbah disleksia pada kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan adalah seimbang. Walaupun demikian, di sekolah kanak-kanak lelaki yang mempunyai disleksia lebih mudah dikesan.  Hal ini kerana kanak-kanak lelaki hiperaktif, sukar memberi perhatian dan mempunyai masalah atau gangguan tingkah laku.

3.0       DYSPRKSIA

            Menurut Puti Anggraeni (2008), dispraksia berasal dari bahasa Yunani, iaitu perkataan “Dys” yang bermaksud tidak mudah atau sulit dan “praxis” yang bermaksud bertindak atau melakukan.  Nama-nama lain bg dispraksia ialahDevelopment Co-ordination Disorder (DCD), Perceptuo-Motor Dysfunction, dan Motor Learning Disability.  Pada zaman dulu, dispraksia lebih dikenal dengan nama Clumsy Child Syndrome.  Berdasarkan kajian, gangguan ini boleh diturunkan dalam keluarga.

            Ramai orang sering kali salah persepsi dan salah paham ketika menemui anak-anak yang sukar berbicara atau mengeja.  Secara umumnya, kanak-kanak seperti ini dianggap sebagai disleksia padahal mungkin dapat saja yang terjadi adalah sebenarnya kanak-kanak tersebut mengidap dispraksia. (Kirby, 1999 & Puti Anggraeni, 2008)  Dispraksia merupakan ‘a hidden handicap’, iaitu gangguan yang tidak jelas terlihat kerana kanak-kanak dispraksia kelihatan sama seperti kanak-kanak yang biasa.  (Kirby, 1999)  Kirby (1999) menceritakan bahawa kanak-kanak ini sering dilihat oleh guru dan rakan-rakan mereka sebagai cuai (clumsy), malas dan juga tidak pandai.  Namun begitu, kanak-kanak ini mempunyai kecerdasan yang biasa atau luar biasa berbanding dengan rakan sebaya meraka. 



3.1       Definisi Dispraksia

Kebanyakkan definisi yang berkait dengan dispraksia, berkenaan dengan koordinasi motor.  Menurut Kirby (1999), dispraksia merupakan keadaan yang disebabkan ketidakupayaan koordinasi dan merupakan ketidakupayaan yang tidak jelas dilihat. Kanak-kanak yang mempunyai dispraksia mungkin mempunyai masalah untuk menangkap bola dan juga tulisan mereka tidak teratur.  Portwood (2000), juga memberi kenyataan yang sama, iaitu, dispraksia berkaitan dengan ketidakupayaan koordinasi motor.  Beliau menyatakan bahawa dispraksia juga dikenali sebagai Development Co-ordination Disorder (DVD). Menurut Xubuntu (2008) pula, dispraksia merupakan satu ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan anggota tubuh.

National Center for Learning Disabilities (2008) pula mendefinisikan dispraksia sebagai istilah yang merujuk kepada ketidakupayaan yang khusus dalam bahagian perkembangan kemahiran motor.  Individu yang mempunyai dispraksia mempunyai masalah dalam merancang dan melakukan tugas-tugas yang melibatkan motor, terutamanya motor halus.  Menurut Puti Anggraeni (2008), dispraksia adalah gangguan atau ketidakmatangan kanak-kanak dalam mengkoordinasi gerakan akibat kurang mampunya otak memproses maklumat sehingga mesej-mesej daripada otak tidak sampai ke bahagian-bahagian badan yang perlu bertindak balas.  Dispraksia mempengaruhi setiap pergerakan seseorang individu. Hal ini menyebabkan timbulnya kesulitan dalam berfikir dan melakukan tugas-tugas motor atau sensori.

Namun begitu, tedapat juga pengkaji yang tidak mengaitkan dispraksia dengan koordinasi motor.  Puti Anggraeni (2008) menulis bahawa Belinda Hill, seorang speech pathologist di Australian Dyspraxia Support Group and Resource Centre, menyatakan bahawa dispraksia bukanlah gangguan yang terjadi pada otot dan gangguan kecerdasan walaupun akibatnya mempengaruhi kemampuan berbahasa dan pengucapan.  Masalah dispraksia terjadi ketika otak mencuba memerintahkan supaya melaksanakan apa yang mesti dilakukan, namun kemudian signal perintah otak tidak sampai ke bahagian yang terlibat.

3.2       Ciri-ciri Dispraksia
           
Portwood (2000) memberi ciri-ciri kanak-kanak dispraksia yang boleh dilihat dari segi beberapa aspek.

3.2.1   Masalah Pemakanan

Semasa bayi sehingga umur kanak-kanak tersebut tiga tahun, dia akan menunjukkan kesukaran untuk menelan makanan atau minuman.  Selepas itu, mereka masih mempunyai masalah apabila makan kerana tidak dapat menggunakan sudu.  Mereka lebih suka makan dengan tangan.  Selain itu, mereka sering menumpahkan air daripada gelas minuman. 

3.2.2   Masalah Tidur

Kanak-kanak dispraksia mempunyai masalah tidur.  Mereka tidak dapat mengikut rutin tidur dan sering berjaga pada tengah malam.  Apabila mereka terjaga, adalah susah untuk mereka tidur semula kecuali mereka merasa selamat dan dipujuk untuk tidur semula.

3.2.3   Masalah Koordinasi Motor

Kanak-kanak berjalan secara berjengket dengan keseimbangan yang lemah dan tangan sentiasa melambai-lambai.  Mereka tidak suka aktiviti-aktiviti memanjat dan terdapat kanak-kanak yang gayat.  Selain itu, mereka sentiasa melanggar objek-objek dan juga orang di sekitarnya.  Jika mereka berlari atau melompat, tangan kanak-kanak dibiarkan ditepi atau seperti melambai-lambai.

Mereka juga mempunyai kemahiran motor halus yang lemah.  Mereka tidak dapat memegang pensil dengan betul dan begitu juga dengan gunting.  Oleh itu, tulisan dan lukisan mereka adalah tidak jelas dan kadangkala tidak dapat dibaca atau dikenalpasti ape yang dilukis. 

3.2.4   Masalah Komunikasi

Kanak-kanak ini dikenalpasti oleh rakan-rakan mereka sebagai individu yang berlainan.  Hal ini kerana kanak-kanak tersebut mempunyai masalah dalam permainan kooperatif dan juga masalah komunikasi.  Mereka itu lebih gemar bermain berseorangan namun berdekatan dengan rakan-rakan mereka dan juga lebih suka duduk bersama orang dewasa daripada dengan kanak-kanak lain.  Selain itu, respons mereka adalah lebih lambat berbanding dengan rakan sebaya mereka.  Jika bercakap, suara mereka biasanya kuat dan seperti menjerit. 

3.2.5   Masalah Penulisan

Masalah penulisan berkait rapat dengan masalah koordinasi motor halus.  Hal ini kerana perlakuan memegang pensil menggunakan motor halus.  Disebabkan mereka tidak mahir memegang pensil atau tidak memegang pensil dengan betul, mereka memerlukan masa yang lebih untuk menyiapkan sesuatu tugasan.  Kemahiran menyalin dan melukis mereka adalah sangat lemah.  Latihan dan pengulangan kurang memberi kesan atau tidak memberi kesan apa-apa terhadap kemahiran perkembangan kanak-kanak.

3.3       Punca-punca Disleksia
           
Menurut Macintyre (2000), punca-punca dispraksia dalam kalangan kanak-kanak tidak dikenalpasti dengan jelas.  Beliau menulis bahawa menurut Lehmkuyl (1984), kanak-kanak ini tidak mempunyai tanda-tanda luar biasa dari segi fizikal dan neurologi untuk menerangkan ketidakupayaan mereka ini. Namun begitu, Kirby (1999) telah cuba untuk memberi punca-punca dispraksia.
           
3.3.1   Genetik

Kirby (1999) menyatakan bahawa ketidakupayaan dispraksia boleh diturunkan.  Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Pauc (2005), jika terdapat seorang individu yang menghidap dispraksia dalam keluarga sebelah ibu, ibu akan mempunyai risiko 37% untuk mendapat anak dispraksia.  Manakala, jika pada sebelah ayah terdapat seseorang individu yang mempunyai dispraksia, ibu akan mempunyai risiko 60% untuk melahirkan anak yang mempunyai dispraksia.

3.3.2   Masalah Ibu semasa Mengandung

Menurut Kirby (1999), masalah ini membawa maksud bahawa ketidakupayaan disebabkan oleh persekitaran.  Mungkin ibu yang mengandung tidak mengamalkan cara pemakanan yang seimbang dan juga mengambil dadah secara haram atau dadah yang dibenarkan, iaitu dalam bentuk ubat yang diberi doctor.  Jika ibu tersebut merokok semasa mengandung, juga boleh memberi kesan kepada janin.  Selain itu, Macintyre (2000) menambah bahawa kemungkinan bayi yang dilahirkan mempunyai berat yang kurang daripada normal, mempunyai jangkitan viral atau tidak cukup oksigen semasa dilahirkan.

3.3.3   Sakit

Kirby (1999) menyatakan bahawa kanak-kanak mungkin mempunyai ‘glue ear’. Ini mungkin menyebabkan kebolehan mereka untuk memperoleh kemahiran bahasa terjejas.  Kanak-kanak mempunyai masalah dalam membezakan bunyi dan kurang memberi tumpuan.  Namun, ini bukan bermaksud kanak-kanak itu mempunyai ADD, iaitu Attention Deficit Disorder.  Glue Ear adalah biasa dan mempunyai pengaruh yang besar ke atas ketidakupayaan dispraksia.

3.4       Statistik Dispraksia

Menurut Kirby (1999) terdapat 1 daripada 12 kanak-kanak yang menghidap dispraksia.  Daripada kanak-kanak tersebut, 3 daripada 4 kanak-kanak tersebut merupakan kanak-kanak lelaki.  Namun, Portwood (2000) menyatakan 4 daripada 5 kanak-kanak adalah kanak-kanak lelaki.  Ini disokong oleh Hicks (2008).  Hicks juga menambah bahawa 10% kanak-kanak mempunyai dispraksia, dari itu 2% yang menghidap dispraksia yang teruk.  Selain itu, Mother and Baby, menyatakan bahawa 1 daripada 30 kanak-kanak mengalami dispraksia.

4.0       AUTISME 
4.1       Definisi Autisme
            Autisme merupakan satu gangguan biological yang agak kompleks yang berlaku dalam kehidupan seseorang kanak- kanak itu.    Menurut Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zasmani Shafiee, autisme adalah gangguan perkembangan otak kanak-kanak yang menyebabkan mereka akan mengalami masalah tertentu.  Pada 1943, Leo Kanner telah mengenalpasti gejala yang menjelaskan ciri-ciri autisme.  Kanner pula (1943/ 1983) menghuraikan istilah autistik sebagai "mengelakkan diri dari reality atau kehidupan sebenar."  Sebelum Kanner, kanak-kanak yang mengalami masalah autisme dilabelkan sebagai"schizophrenia, febble minded, idiot, mentally retarded, mbecile, childhood schizophrenia, early infantile autism, childhood onset pervasive deveopmental disorder”.   Anggapan apabila dewasa mereka menjadi schizophrenia diakui tidak benar oleh beberapa pengamal profesional.

            Kanner menghuraikan kanak-kanak ini mempunyai daya ingatan yang tinggi, lambat perolehan pertuturan dan bahasa (termasuk sebutan terbalik, ekolalia, dan masalah literasi) dan terlalu menekankan perlakuan yang sama.  Perkataan "autisme" dipinjam dari perkataan yang pernah digunakan untuk menjelaskan sifat schizophrenia yang bermaksud menarik diri daripada perhubungan dan menutup diri dari dunia luar.

            Kanak- kanak yang mengalami autisme ini mempunyai masalah dalam interaksi sosial dan komunikasi.  Oleh yang demikian, mereka akan mengalami masalah untuk berbual dengan orang yang terdapat di sekeliling mereka.  Kanak- kanak yang mempunyai autisme mampunyai tingkah laku yang agak pelik.  Mereka gemar melakukan sesuatu perkara berulang- ulang.  Contohnya, mereka gemar mengulang ayat- ayat yang sama. 

            Keadaan fizikal kanak-kanak autisme yang normal seperti kanak-kanak lain membuatkan kelainan yang ada pada mereka sukar dikesan melainkan kita melihat beberapa gejala biasa yang mungkin ada pada mereka.  Masa kini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat dipulihkan. (Walaupun terdapat organisasi bergelar Sembuhkan Autisme Sekarang "Cure Autism Now"). Diagnosis dan latihan awal amat penting bagi perkembangan masa hadapan kanak-kanak yang mempunyai autisme. 

4.2       Ciri-Ciri Autisme
  
          Terdapat banyak ciri dalam mengenalpasti kanak- kanak yang mempunyai autisme.  Pertama, dari aspek tingkah laku.  Kanak- kanak yang menghidap autisme akan lebih gemar bersendirian.  Kanak- kanak sebegini tidak gemar bergaul dengan orang di sekelilingnya seperti rakan- rakan, guru termasuklah ahli keluarga yang terdekat.  Kanak- kanak ini juga sukar memberi kerjasama dalam kumpulan ataupun rakan sekelas mereka.  Selain itu, mereka tidak suka didakap atau dipeluk dan mereka akan meronta- ronta jika tindakan ini dilakukan terhadap diri mereka. Kontak mata juga tidak akan wujud dengan orang yang sedang bercakap dengan mereka.  Tingkah laku mereka menggambarkan seolah- olah mereka ini tergolong dalam orang pekak kerana mereka tidak akan mempedulikan sesiapa sahaja yang sedang berkomunikasi dengan mereka.  Mereka tidak dapat memberitahu apa yang mereka hajati sebaliknya hanya mampu menarik tangan ibu bapa atau penjaga dan membawa kepada sesuatu yang mereka hajati itu, sebagai menyatakan apa yang mereka mahukan.  Contohnya, mereka akan meminta bantuan daripada orang lain untuk mengambil sesuatu, walaupun barang itu berada dekat atau boleh diambil sendiri oleh mereka.  Sesetengah kanak-kanak autisme akan meronta-ronta atau menangis dengan kuat apabila kehendaknya tidak dituruti dan keadaan inilah yang membuatkan sesetengah ibu bapa tidak mahu membawa mereka keluar berjalan-jalan. 

            Dari segi permainan pula, disebabkan kanak-kanak autisme juga kurang daya imaginasi semasa bermain, mereka lebih gemar bermain sendirian.  Cara mereka bermain juga agak ganjil suka memutar sesuatu objek, gemar mengatur atau menyusun sesuatu benda seperti permainan dan buku.  Kanak- kanak ini juga hanya menumpukan perhatian kepada satu objek sahaja seperti tayar kereta mainan. 

            Dalam aspek bahasa pula, terdapat beberapa ciri yang boleh dikenalpasti dalam kanak- kanak yang mempunyai autisme.  Kebolehan untuk kanak- kanak autisme berbahasa adalah terhad.   Mereka tidak dapat bertutur dengan baik, perkara yang dituturkan tanpa makna dan tidak mempunyai kebolehan bertanya soalan dengan baik dan hanya boleh bertutur dengan bahasa yang hanya difahami mereka sendiri.  Perkara ini disebabkan oleh fungsi bahasa yang tidak diperolehi secukupnya.  Mereka yang mempunyai autisme dilihat sebagai kanak- kanak yang suka bercakap dan kadang kala bercakap secara berlebihan dalam topik tertentu, gemar bercakap tentang perkara yang sama, di ulang beberapa kali dan juga suka meniru percakapan orang lain tanpa memahaminya. 

            Kesemua ciri ini dapat dilihat dengan jelas ketika kanak- kanak ini mencecah usia tiga tahun hingga empat tahun.  Namun, terdapat kes- kes tertentu di mana aspek tingkah laku dapat dilihat lebih awal iaitu ketika berumur 18 bulan lagi.     

            Menurut Dr. Zasmani Shafiee , daripada  Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), masih ada harapan untuk memulihkan kanak- kanak autisme iaitu  dengan komitmen padu daripada seluruh keluarga dan guru-guru yang terlibat secara langsung.  Beliau menyatakan bahawa, terapi berterusan seperti yang dilakukan di pusat-pusat khas untuk kanak-kanak autisme seperti yang terdapat di Sabah, membolehkan kanak-kanak ini dipulihkan daripada masalah ini. Bagaimanapun ia memerlukan komitmen daripada semua pihak.  Sehubungan itu, beliau turut menyatakan bahawa,  ibu bapa perlu membawa anak mereka untuk membuat pemeriksaan kesihatan sekiranya anak- anak kecil mereka belum boleh bercakap di usia dua tahun atau pada usia yang lebih muda. 
           
            Antara proses yang dijalankan untuk rawatan ialah, sebelum pakar menentukan jenis terapi yang bersesuaian, mereka akan melalui beberapa peringkat ujian termasuk ujian pendengaran.  Jika terdapat beberapa gejala autisme dan ujian lain menunjukkan kanak-kanak tersebut menghadapi masalah tersebut, ibu bapa akan dinasihatkan untuk melakukan beberapa terapi di rumah.  Dr. Zasmani Shafiee menyatakan bahawa, program latihan awal amat penting untuk kanak- kanak autisme dan sekiranya mereka dapat berkomunikasi di awal usia, masalah tingkah laku boleh dikurangkan atau dibentuk.  Tumpuan khusus amat penting bagi memastikan mereka benar-benar boleh berkembang dengan baik dan dapat bergaul secara sedikit demi sedikit dengan rakan- rakan.

4.3       Faktor- Faktor Autisme
           
Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak.  Malah kini, turut dikenal pasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan.  Lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing.

            Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu.  Fungsi otak yang terganggu adalah melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, perhatian dan tingkah laku.

            Selain itu juga, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan,pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubela dan herpes turut mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komuni-kasi dan interaksi. 

4.4       Statistik Autisme
         
   Dianggarkan satu daripada 500 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah autisme dan statistik menunjukkan kini terdapat kira-kira 47,000 penduduk Malaysia menghidap autisme.  Daripada jumlah ini, empat atau lima orang bagi setiap 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang mengakibatkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling, kecuali diri sendiri.  Hampir 70 peratus kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal pada tahap berbeza. Ini telah menyebabkan proses pembelajaran mereka lebih lambat, mempunyai masalah berinteraksi, berkomunikasi serta tingkah laku.

            Manakala di China pula, pada tahun 2005, dianggarkan seramai 1.8 juta kanak-   kanak di negara itu mempunyai Autisme.  

5.0       SINDROM RETT
5.1       Definisi Sindrom Rett
           
Sindrom Rett adalah penyakit tumbesaran otak yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak perempuan. Sindrom ini telah mula ditemui dan jelaskan oleh Dr. Andreas Rett, seorang physician Austria dalam jurnalnya pada tahun 1966. Sindrom ini menunjukkan simptom yang berlainan dikalangan kanak-kanak. Sindrom Rett adalah penyakit genetik iaitu terdapat mutasi pada kromosom X. Antara nama lain sindrom Rett adalah  Austism-Dementia-Ataxia loss of Purposeful Hand Use Syndrome dan juga Cerebroatrophic Hyperammonemia

5.2       Ciri- Ciri Sindrom Rett
           
Kanak-kanak sindrom rett akan mengalami tumbesaran yang normal selepas lahir. Kemudian, simptom fizikal dan mental akan muncul. Kebiasaannya, individu dengan sindrom rett akan menunjukkan kelakuan seperti akustik pada peringkat awal.

            Antara ciri sindrom rett ialah, hipotonia (tangan dan kaki), tumberasaran kepala yang lambat antara umur 5-6 bulan, perubahan perkembangan, masalah perkembangan pertuturan yang serius, hilang keupayaan tangan, tidak berupaya membuat pergerakan dengan betul, tidak stabil apabila bergerak(stiff gait), hilang keupayaan sosial, sawan, sasalah pernafasan, skoliosis,  dan juga lelehan air liur dari mulut

5.3       Punca Sindrom Rett
           
 Antara punca sindrom rett ialah, berkaitan dengan mutasi gen MECP2.   Gen MECP2 terdapat pada kromosomX. Gen ini dipercayai boleh mengawal gen-gen yang lain.  Gen ini mempunyai panduan untuk membina protein MeCP2 ( methyl cytosine binding protein 2).  80% pesakit sindrom Rett mempunyai mutasi gen ini. 

Kedua, ialah mutasi gen CLDK5.  Gen CLDK5 memberi panduan untuk membina protein yang penting untuk perkembang otak secara normal.  Mutasi gen ini sering dikaitkan dengan kejadian sawan dikalangan pesakit sindrom Rett. Selain itu, mutasi ini adalah penyebab kepada sindrom Rett atipikal.

5.3      Statistik Sindrom Rett
           
 Sindrom ini jarang berlaku, ianya berlaku satu diantara 10000-15000 dikalangan bayi perempuan yang lahir. Semua bangsa dan kaum etnik tidak terkecuali untuk mendapat penyakit ini. Sindrom Rett yang berlaku dikalangan lelaki selalunya akan mati sejurus selepas lahir berikutan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X berbanding dua kromosom X untuk perempuan.

            Di Amarika Syarikat, nisbah bilangan penghidap sindrom rett adalah, seorang nisbah 10 000 hingga 22 000 bagi kanak- kanak perempuan.  Ini bermakna, penghidap sindrom rett adalah 0.01%  atau  27,200.  





6.0       SINDROM ASPERGER
6.1       Definisi Sindrom Asperger
           
 Sindrom ini mula dikenal pasti oleh seorang pakar psikiatri dari Austria, Hans Asperger (1944).  Pada asalnya, sindrom ini diberi nama psikopati austistik kerana wujudnya masalah kelainan personaliti.  Kemudian diberi nama Sindrom Asperger kerana untuk mengelakkan masyarakat tersilap tafsir antara psikopati autistic dengan tingkah laku sosiopatik.  Sindrom ini merupakan suatu gejala kelainan perkembangan syaraf otak. 

6.2       Ciri- Ciri Sindrom Asperger
       
     Pada kebiasaanya, sindrom asperger, kerap berlaku pada kanak- kanak lelaki dan biasanya tidak dapat dikenal pasti sebelum berumur tiga tahun.  Antara ciri- ciri sindrom ini ialah, pertama, dari segi percakapan dan bahasa.  Mulanya, kanak- kanak ini akan bercakap seperti kanak- kanak yang lain.  Perkembangan bahasa mereka boleh tercapai tetapi mereka akan sering mengalami masalah dari segi sebutan.  Percakapan mereka sering meleret dan hanya menumpukan kepada perkara yang diminatinya sahaja.  Kanak- kanak ini sering mengulangi perkataan atau rangkai kata dan ada kalanya mencipta perkataan yang hanya difahami oleh diri mereka sahaja.  Bahasa yang digunakan oleh mereka kelihatan seperti meniru daripada orang sekeliling mereka ataupun bahasa yang diperolehi daripada buku atau drama- drama di televisyen. 
           
            Daripada aspek interaksi sosial pula, kanak- kanak sindrom asperger tidak mudah memahami ataupun menilai perasaan, reaksi, air muka atau gerak geri seseorang semasa sedang berkomunikasi.  Kanak- kanak ini tidak mempunyai perasaan empati.  Ada ketikanya, mereka gemar merenung orang lain, seolah- olah sedang mencari sesuatu.  Mereka juga mempunyai masalah sosial, tetapi bukan mereka memencilkan diri mereka tetapi mereka kurang mengerti keadaan untuk mengikut peraturan sosial.

            Daripada aspek koordinasi motor pula, kanak- kanak sindrom asperger mempunyai kelemahan dalam mengkoordinasikan tubuh badan mereka.  Kebanyakan mereka tidak cekap dalam permainan yang memerlukan pergerakan motor serta mempunyai kesukaran untuk menulis.

            Namun, kanak- kanak sindrom asperger, mempunyai keistimewaan dalam perkara- perkara tertentu.  Mereka mempunyai daya ingatan yang baik dalam perkara- perkara yang diminati sehingga kadang kala, mereka berusaha mendapatkan seberapa banyak maklumat tentang perkara yang diminatinya itu.   

6.3       Punca Sindrom Asperger
         
   Faktor genetik menjadi penyebab munculnya Sindrom Asperger.  Penderita sindrom ini seringkali mempunyai ayah yang mengalami kesulitan dalam interaksi sosial.  Faktor lain ialah kandungan ibu, iaitu semasa proses kehamilan, dan ketika ingin bersalin mampu menjadi penyebab sindrom ini pada anak.

6.4       Statistik Sindrom Asperger
           
Menurut Kasmani dan Zasmani (1995), dalam setiap 10,000 orang yang mempunyai kecerdasan normal, 10 hingga 26 mempunyai sindrom Asperger dan dalam setiap 10,000 yang terencat akal, terdapat 0.4 yang mempunyai sindrom Asperger.  Kanak-kanak lelaki lebih cenderung menghidap sindrom ini berbanding dengan kanak-kanak perempuan iaitu nisbah 4:1. (National Institute of Neurological Disorders & Stroke, 2008)

7.0       SINDROM DOWN
7.1       Definisi Sindrom Down
           
            Sindrom Down merupakan gangguan kromosom  yang disebabkan oleh ciri- ciri fizikal  yang boleh diidentitikan dan biasanya disebabkan lambat dalam perkembangan fizikal dan intelektual.  Sindrom down dinamakan sempena nama John Langdon Down, doktor British yang pertama kali menggambarkannya pada tahun 1866. Masalah sindrom down ini wujud apabila bayi yang dilahirkan dengan mempunyai masalah genetik iaitu mempunyai masalah kromosom ke-21.  Ramai pernah mendengar namun ramai juga cetek pengetahuan mengenainya.  Ia bukan penyakit moden atau penyakit 'orang kaya', malah Sindrom Down (SD) tidak tepat dikatakan penyakit.  Sindrom down boleh dikenal pasti semasa kelahirannya.  Namun, kelainan ini boleh dikesan semenjak daripada bayi tersebut berada dalam kandungan ibunya lagi.  Sering kali Sindrom Down dikaitkan dengan kelemahan keupayaan berfikir (kognitif) dan tumbesaran kanak-kanak dan juga perwatakan muka.

7.2       Ciri- ciri Sindrome Down
           
Kanak- kanak sindrom down mempunyai beberapa ciri khusus yang boleh dikenal pasti.  Pertama dari aspek fizikal iaitu sifat pada kepala, muka dan leher.  Mereka mempunyai iras muka yang hampir sama dan muka mereka agak leper.  Mempunyai pangkal hidung yang kemek. Jarak diantara dua mata agak jauh dan berlebihan kulit di sudut dalam. Saiz mulut kanak- kanak sindrom down adalah kecil dan saiz lidah mereka agak besar menyebabkan lidah selalu terjelir.  Pertumbuhan gigi lambat dan tidak teratur. Selain daripada itu, mereka mempunyai paras telinga yang lebih rendah dan biasanya kepala mereka lebih kecil dan agak leper daripada bahagian depan ke belakang serta mempunyai leher yang agak pendek berbanding kanak- kanak normal.

            Selain daripada itu, mereka juga mempunyai tangan, lengan dan kaki yang berlainan daripada kanak- kanak yang normal. Sifat yang jelas ialah, tangan mereka mempunyai jari-jari yang agak pendek dan jari kelingking membengkok ke dalam.  Tapak tangan mereka biasanya hanya terdapat satu garisan urat dinamakan "simian crease".  Pada bahagian kaki pula, kanak- kanak sindrom down mempunyai kaki yang agak pendek dan jarak di antara ibu jari kaki dan jari kaki kedua agak jauh terpisah serta keadaan tapak kaki yang agak leper.
            Otot- otot bagi kanak- kanak sindrom down juga mempunyai masalah tertentu iaitu mereka mempunyai otot yang lemah menyebabkan mereka menjadi lembik dan menghadapi masalah lewat dalam perkembangan motor kasar.

            Dalam pada itu juga, kanak- kanak seperti ini turut mempunyai masalah di dalam organ dalaman tubuh mereka terutamanya usus dan jantung.  Masalah usus yang timbul ialah, pertama, salur esofagus yang tidak terbuka (atresia) ataupun tiada saluran sama sekali di bahagian tertentu esofagus.  Biasnya ia dapat dikesan semasa berumur satu hingga dua hari iaitu ketika bayi mengalami masalah menelan air liurnya dan yang kedua ialah, salur usus rectum atau bahagian usus yang paling akhir (dubur) yang tidak terbuka langsung atau penyempitan yang dinamakan "Hirshprung Disease".  Keadaan ini disebabkan sistem saraf yang tidak normal di bahagian rektum. Biasanya bayi akan mengalami masalah pada hari kedua dan seterusnya selepas kelahiran di mana perut membuncit dan susah untuk buang air besar. 

            Selain itu, bayi sindrom down juga akan mengalami masalah pada bahagian jantung mereka.  Masalah jantung yang paling kerap berlaku ialah jantung berlubang seperti Ventricular Septal Defect (VSD) iaitu jantung berlubang di antara bilik jantung kiri dan kanan atau Atrial Septal Defect (ASD) iaitu jantung berlubang diantara atria kiri dan kanan.  Masalah lain adalah termasuk salur ateriosis yang berkekalan (Patent Ductus Ateriosis / PDA).  Bagi kanak-kanak sindrom down boleh mengalami masalah jantung berlubang jenis kebiruan (cynotic spell) dan susah bernafas. 

            Antara masalah perubatan lain yang timbul dalam kalangan kanak- kanak sindrom down ialah, kanak-kanak sindrom down mungkin mengalami masalah Hipotiroidism iaitu kurang hormon tairoid.  Masalah ini berlaku di kalangan 10% kanak-kanak sindrom down. Kanak-kanak sindrom down mempunyai ketidakstabilan di tulang-tulang kecil di bahagian lener bolih menyebabkan berlakunya penyakit lumpuh (atlantoaxial instability) dimana ianya berlaku di kalangan 10% kanak-kanak sindrom down. Sebahagian kecil mereka mempunyai risiko untuk mengalami kanser sel darah putih iaitu leukimia.

7.3       Punca Sindrom Down
         
   Dikatakan bahawa ibu-ibu yang berumur 35 tahun ke atas semasa mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan anak Sindrom Down. Perkara ini disebabkan oleh kelebihan kromosom 21. Keadaan ini disebabkan oleh "non-dysjunction" kromosom yang terlibat iaitu kromosom 21 dimana semasa proses pembahagian sel secara mitosis pemisahan kromosom 21 tidak berlaku dengan sempurna. Perkara ini terjadi kepada 95% kanak- kanak yang berkemungkinan mendapat sindrom down.  Manakala, 5% lagi kanak-kanak sindrom down disebabkan oleh mekanisma yang dinamakan "translocation".  Keadaan ini biasanya berlaku oleh pemindahan bahan genetik dari kromosom 14 kepada kromosom 21.  Bilangan kromosomnya normal iaitu 23 pasang atau jumlah kesemuanya 46 kromosom. Mekanisma ini biasanya berlaku pada ibu-ibu di peringkat umur yang lebih muda.  Sebahagian kecil Sindrom Down disebabkan oleh mekanisma yang dinamakan "mosaic".

                  
 8.0      KESIMPULAN
Kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan seperti yang dibincangkan memerlukan perhatian dan penjagaan yang khusus.  Mereka memerlukan kasih saying, perhatian dan kesabaran guru serta ibu bapa.  Ini memerlukan pengorbanan yang tinggi sehingga boleh menjadikan guru dan ibu bapa atau penjaga hilang semangat, terutamanya bila perkembangan kanak-kanak terbatas.  Mendidik kanak-kanak ini adlah sangat mencabar dan menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi dari guru.  Oleh, itu guru-guru di sekolah pendidikan khas perlu menolong kanak-kanak seperti ini yang tidak dapat mengikuti pembelajaran harian seperti kanak-kanak yang biasa.  Guru perlu mengenalpasti ketidakupayaan kanak-kanak tersebut berdasarkan ciri-ciri yang diberi dan mengambil tindakan atas apa yang harus dilakukan.  Dengan ini, harapan supaya kanak-kanak yang mempunyai ketidakkupayaan seperti yang dibincangkan berpeluang mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain dan tidak ketinggalan tercapai.




SUMBER: http://notapendidikankhasku.blogspot.my/2013/01/jenis-jenis-pendidikan-khas.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan